Sakinab Ahmad Shah, buat pertama kali muncul di televisyen Singapura dalam rancangan "Misteri MH370", menolak spekulasi Zaharie sengaja sabotaj pesawatnya sendiri seperti yang didakwa sesetengah pihak.
"Dia mungkin sepintar Einstein jika dia yang rancang dan buat semua itu, tetapi dia bukan sebegitu. "Dia cuma seorang yang amat sukakan penerbangan. Banyak duit dilaburkannya untuk membeli model kapal terbang.
"Minatnya dalam penerbangan amat mendalam, jika boleh dia akan pasang sayap ke badannya sendiri dan terbang," katanya kepada Channel News Asia malam tadi. Kehilangan MH370 berkemungkinan besar disebabkan perbuatan individu dan ramai menuding jari kepada Zaharie yang membawa 239 penumpang dan anak kapal sebagai suspek utama.
"Kami tidak faham kenapa seseorang yang mahu membunuh diri sengaja melambatkan kematiannya terbang empat hingga enam jam sebelum jatuh dan menghilang," katanya. Media The UK Telegraph pada bulan lalu melaporkan, satu laluan yang dipadamkan daripada alat simulasi Zaharie ditemui semula, iaitu latihan pendaratan jarak singkat di landasan kecil di salah sebuah pulau kecil di Lautan Hindi. Laluan itu dipadamkan sebelum MH370 dilaporkan hilang.
Spekulasi penglibatan Zaharie turut disokong dengan kenyataan isterinya, Faizah Khan yang mengesahkan isyarat terakhir dihantar ke menara kawalan itu adalah suara Zaharie. Isyarat “All right, goodnight” pada mulanya dikatakan suara pembantu juruterbang Fariq Abdul Rahman seperti yang diumumkan kerajaan Malaysia sebelum ini.
Bagaimanapun, pemangku Menteri Pengangkutan pada ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan laporan Telegraph dan menganggapnya sebagai laporan tidak bertanggungjawab semata-mata untuk melariskan jualan akhbar. Wujud teori lain yang mendakwa tindakan Zaharie itu untuk "menyelamatkan" Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didapati bersalah dan bakal dikenakan humuman penjara atas kes liwat.
Pihak berkuasa Malaysia meramalkan pesawat terkeluar daripada laluan asal dan menuju ke selatan Lautan Hindi, dipercayai lokasi terakhir sebelum hilang. Boeing 777 itu sehingga kini masih belum ditemui walaupun pencariannya dicatatkan sebagai misi terbesar dalam sejarah penerbangan dunia. Penyiasat kini sedang bersedia dalam fasa seterusnya pada Ogos, dan fokus kini kepada kawasan selatan Lautan Hindi dan perairan Australia.– 14 Julai, 2014.
sumber - theMalaysianInsider
0 Response to "Kakak Kapten Zaharie Akhirnya Buka Mulut Tentang Adiknya"
Post a Comment