DUA PELAJAR SEKOLAH MENENGAH SAMSENG JADI PENYAMUN DI SEKITAR PUCHONG


PUCHONG – Dua remaja yang masih lagi bersekolah masing-masing berusia 16 dan 17 tahun berlagak samseng melakukan samun bersama empat lagi rakan mereka di sekitar Puchong.

Difahamkan, mereka tinggal di kawasan perumahan sama dan mensasarkan mangsa yang berjalan kaki.

Sumber berkata, kesemua suspek bagaimanapun tumpas di tangan polis 10 minit selepas menyamun seorang wanita warga Filipina di Puchong Jaya, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 pagi itu, mangsa yang berusia 30 tahun dikatakan berjalan kaki bersama dua rakannya di Persiaran Puchong Jaya Selatan.

Tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Perodua Alza warna putih berhenti di sebelah mangsa dan keluar seorang lelaki.

“Suspek terus menumbuk muka mangsa dan merampas beg tangan yang disandang mengandungi I Pad, telefon bimbit serta sejumlah wang tunai,” katanya.

Perbuatan kejam suspek menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan di muka serta bahu.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Cawangan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang diketuai Inspektor Shuhaimi Yaakob berjaya mengesan kereta dinaiki kesemua suspek beberapa meter dari lokasi kejadian.

Suspek diekori hampir tiga kilometer dan berjaya diberkas di Jalan Kewajipan USJ 1.

Kesemua suspek didapati beralamat di taman perumahan sama dan berusia antara 16 hingga 20 tahun.

“Polis merampas enam telefon bimbit, sebuah kamera digital, I Pad dan sejumlah wang tunai.

“Dua daripada ahli geng terbabit mengaku pernah melakukan jenayah samun sejak awal tahun lalu,” katanya. - SH

0 Response to "DUA PELAJAR SEKOLAH MENENGAH SAMSENG JADI PENYAMUN DI SEKITAR PUCHONG"

Post a Comment