Subjek Keusahawanan Perlu Diajar Dari Tingkatan 1


KUALA LUMPUR – Subjek pendidikan keusahawanan perlu diperkenalkan bermula daripada tingkatan satu di sekolah menengah, bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar agar negara dapat melahirkan lebih ramai golongan usahawan.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata setiap tahun hanya sekitar 30 peratus daripada pelajar lepasan sekolah menengah yang berminat menceburi bidang keusahawanan sedangkan kerajaan menyediakan pelbagai dana dan insentif untuk golongan muda memulakan perniagaan dalam industri kecil dan sederhana (IKS).
“Ini bermakna setiap tahun kita mengalami kerugian sumber manusia yang sepatutnya jadi usahawan.
“Maka sudah tiba masanya kerajaan memberi penekanan serius terhadap subjek keusahawanan daripada peringkat awal selaras dengan hasrat negara mahu mencapai negara maju menjelang 2020 dan berpendapatan tinggi,” katanya kepada pemberita selepas majlis pra-pelancaran ‘Malaysia Conference on Innovation and Entrepreneurship Education (MCIEE)’ di sini, hari ini.
Acara sulung anjuran Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU) itu akan diadakan pada 10-11 Mac, 2015.
Ia bertujuan meneroka idea baru dan inovasi dalam IKS sekali gus membina jalinan kerjasama antara pembuat dasar, pelajar, tokoh akademik dan pemain industri.
Mengulas lanjut mengenai pengenalan subjek keusahawanan bermula di tingkatan satu, Ahmad berkata beliau turut menyampaikan cadangan tersebut kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menerima maklum balas yang positif.
Selain itu, beliau juga berharap agar produk yang dicipta oleh para pelajar khususnya di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) dapat dikomersialkan demi manfaat rakyat.

“Daripada perjumpaan saya dengan pihak Mosti (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) baru-baru ini, saya mendapat tahu terdapat kira-kira 200 produk baharu hasil daripada inovasi pelajar-pelajar ini telah dipatenkan, namun tidak pula dikomersialkan,” katanya.- BERNAMA

0 Response to "Subjek Keusahawanan Perlu Diajar Dari Tingkatan 1"

Post a Comment