Lelaki Pukul Anjing Mohon Maaf. Saya telah diserang oleh anjing berkenaan sebanyak enam kali.



Lelaki warga Singapura yang dirakamkan memukul seekor anjing dan mengasari pengawal keselamatan di kawasan kediaman di Bandar Kinrara, Puchong, telah memohon maaf atas tindakannya itu. 

 Terry Yee, yang dikenalpasti sebagai lelaki dalam rakaman CCTV tersebut mengakul kesal dengan perbuatannya itu dan mendedahkan dia sebenarnya adalah seorang yang sayangkan binatang. 

 “Saya telah keterlaluan. Saya mohon maaf kerana bertindak keterlaluan hingga memukul anjing itu, iaitu sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan,” katanya dalam temubual eksklusif dengan TheStarTV semalam. 

 Jelasnya, Sabtu lepas dia telah diserang oleh anjing berkenaan dalam hujan dan turut kehilangan cincin pertunangannya. 

 “Pada Ahad saya diserang sekali lagi. Saya telah diserang oleh anjing berkenaan sebanyak enam kali. Mereka (pihak pengurusan) mempunyai video namun satu-satunya yang ditunjukkan adalah ketika saya mempertahankan diri,” katanya. 

 Yee menjelaskan dia tiada niat untuk mencederakan anjing pengawal berkenaan dan bertindak demikian kerana kecewa selepas serangan berulang dan kekurangan usaha daripada pengawal keselamatan untuk melindunginya. Dia juga bersedia membantu anjing berkenaan sembuh. 

Rakaman video mengenai insiden berkenaan dalam durasi 2.23 minit telah menjadi tular di media sosial dengan orang ramai mendesak supaya tindakan diambil ke atasnya.

 Dalam video berkenaan, seorang lelaki sedang menaiki basikal dalam kawasan kejiranan tersebut sebelum didatangi seekor anjing yang menyalak serta mengejarnya hingga mengakibatkannya terperanjat lalu terjatuh dari basikal. 

 Lelaki itu kemudiannya bertindak memukul anjing tersebut berkali-kali dengan sebuah objek dipercayai topi keledar. 

Perbuatannya cuba dihentikan oleh seorang pengawal keselamatan yang bertugas di taman perumahan berkenaan. Susulan itu beberapa laporan polis telah dibuat terhadap lelaki berkenaan.

0 Response to "Lelaki Pukul Anjing Mohon Maaf. Saya telah diserang oleh anjing berkenaan sebanyak enam kali. "

Post a Comment