Keluarga Allahyarham Nik Aziz nafi pagar di kubur ini dibina oleh pihaknya (Gambar)

kubur nik aziz



PETALING JAYA: Berikutan dengan tersebarnya gambar yang menunjukkan kubur telah dibina pagar bertutup, Anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini telah menafikan dakwaan kononnya ia memang sengaja dipasang oleh ahli keluarganya.

Anak lelaki Allahyarham iaitu Nik Mohamad Abduh memberitahu bahawa pagar tersebut telah dipasang oleh penduduk kampung dan juga bekas murid Allahyarham Nik Aziz tanpa pengetahuan mereka sekeluarga.

“Saya ingin menjelaskan bahawa binaan itu telah dibina oleh individu penduduk kampung dan murid ayahanda tanpa pengetahuan pihak kami sekeluarga.

“Tujuannya baik, iaitu untuk mengelak perbuatan bidaah yang jahil bertentangan ajaran Islam, seperti mengambil tanah untuk tujuan ‘berkat’ yang hakikatnya adalah ‘sesat,” kata Nik Abduh menerusi posting Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menjelaskan, biarpun orang yang memasang binaan tersebut bertujuan baik, namun pihaknya tidak bersetuju dengan binaan tersebut dan telah membuat keputusan untuk memindahkan pagar tersebut pada kadar segera.

“Kami sepakat bahawa ia diletakkan dengan status ‘sementara’ atas maslahat di atas. Ia akan dipindahkan dalam tempoh terdekat insya Allah,” katanya.

Sehubungan itu, pihak keluarga akan mengekalkan kubur Allahyarham dengan binaan batu nisan tanpa ada sebarang binaan lain di sekitar kawasan makam tersebut.

Walaupun sudah sebulan lebih Allahyarham Nik Aziz meninggal dunia, sehingga kini pusara beliau masih diziarahi seluruh rakyat Malaysia.

Bekas Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS itu meninggal dunia pada 12 Januari lalu kira-kira jam 9.40 malam di sisi anggota keluarga di kediamannya di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu Kelantan. Beliau berumur 84 tahun.
-fmt-

http://gigitankerengga.blogspot.com/

0 Response to "Keluarga Allahyarham Nik Aziz nafi pagar di kubur ini dibina oleh pihaknya (Gambar)"

Post a Comment