Rindunya Pada Abang … Walau Baru Sehari TGNA ‘Pergi’ – Tuan Sabariah


Ikatan perkahwinan yang telah terjalin sejak 53 TAHUN dengan bekas Menteri Besar Kelantan  dan Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tentulah isterinya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak adalah orang yang paling terasa kehilangan dan pemergian tokoh itu.
Walaupun baru sehari sahaja pemergian suami, Tuan Sabariah mengaku yang dia begitu amat merinduinya.
“Kini anak-anaklah yang akan menjadi peneman saya, menghilangkan kesunyian hidup saya.
“Walaupun baru sehari, saya mengakui sangat merindu beliau,” ujar wanita tabah itu dalam satu wawancara khas bersama akhbar Sinar Harian.

Menjelaskan dengan lanjut dengan nada hiba, Tuan Sabariah menceritakan tiga hari sebelum Nik Aziz pergi, Allahyarham telah mengatakan sesuatu yang amat menyentuh perasaannya.
“Nanti abang tak dok (meninggal dunia), lepas ni, sapo nak jago Yah?” kata Allahyarham kepadanya.
“Anak-anak kita kan ada, mereka boleh jaga saya sampai bila-bila. Abang janganlah risau,” tutur Tuan Sabariah menjawab persoalan arwah suaminya,
Walaupun masih berperang dengan perasaan sebak di dada saat itu, dia tetap gagah untuk mengukir senyuman.

BACA: Allahyarham TGNA Marah Orang Taksub Padanya


Semasa wawancara tersebut, wanita berusia 67 tahun itu turut mengakui kain kurung kapas warna krim bercorak bunga halus yang disarungnya itu adalah baju kegemaran  arwah yang sering memuji yang ia sesuai dikenakan oleh suri hatinya itu.
“Baju inilah yang Abang paling suka saya pakai.
“Abang tidak suka saya pakai baju warna terang dan bunga besar dan banyak tetapi tidak pula pernah melarang atau menegur sehingga saya berkecil hati,” imbaunya.
Menyelusuri kisah mereka Tuan Sabariah bercerita, dia pernah memakai baju pemberian rakan apabila suaminya menegur secara bergurau, “Yah nampak tua pakai macam tu… Saya hanya membalas dengan ketawa dan terus menyimpan baju itu dan tidak dipakai lagi.”
Pasangan ini melangsungkan perkahwinan pada 1962 atas pilihan keluarga. Ketika itu, Tuan Sabariah berusia 14 tahun manakala Nik Aziz 31 tahun. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan 10 orang anak.
tg1
Bercerita tentang sifat mengagumkan yang ada pada Allahyarham, Tuan Sabariah berkata walaupun suaminya berada dalam keadaan sakit namun beliau tetap bangun menunaikan solat Tahajjud dan ia sememangnya amalan yang sering dilakukan semenjak dahulu.
“Tidak pernah diabaikannya atau mengeluh penat untuk melaksanakannya, walaupun kadangkala balik lambat hingga jam 2 pagi (ketika menjadi Menteri Besar) bertahajjud tetap jadi keutamaannya,” ujar Tuan Sabariah.
- MYNEWSHUB.CC

0 Response to "Rindunya Pada Abang … Walau Baru Sehari TGNA ‘Pergi’ – Tuan Sabariah"

Post a Comment